Make your own free website on Tripod.com

Kefahaman Objektif

Malam Serumpun Seni

Setelah sekian lama hanya memberi tumpuan kepada perkembangan kegiatan dalamannya, kumpulan Sriwana keluar daripada kepompongnya dengan menjalin kerjasama kumpulan kesenian dua negara jiran bagi projek besarnya tahun ini. Menerusi pementasan yang diberi nama Malam Serumpun Seni, Sriwana berkongsi pentasnya bersama kumpulan seni negara jiran, Yayasan Warisan Johor, dan sebuah kumpulan dari kepulauan Indonesia, Karimun, untuk menghidangkan acara muzik dan tarian yang berteraskan Melayu asli.

Malah mereka juga membuka pintu untuk mendapatkan kepakaran seniman bukan anggota termasuk jurutari Osman Hamid (mantan anggota) dan Salleh Buang serta kumpulan muzik Sri Mahligai untuk sama-sama menjayakan pementasan itu. Presiden Sriwana, Hamzah Abdul Rahim, berkata Sriwana sedar perlunya pihaknya membuka pintu dan bersikap terbuka demi mendapatkan hasil terbaik dalam setiap projek seninya.

'Seperti kebanyakan persatuan lain, memang biasanya kegiatan kami hanya tertumpu kepada perkembangan hasil bengkel-bengkel yang dijalankan dalam persatuan.
'Tetapi kami sedar kami harus memanfaatkan juga kemajuan yang sudah ada di luar dan bekerjasama dengan badan atau individu yang baik agar kita sama-sama dapat menghasilkan sebuah pementasan yang dapat dibanggakan,' kata Hamzah.

Selaras dengan matlamatnya untuk mengangkat seni Melayu, Malam Serumpun Melayu yang menghidangkan acara tarian dan muzik memilih untuk bekerjasama dengan Johor dan Riau yang mendukung budaya Melayu tanpa banyak dipengaruhi unsur seni Jawa atau Siam. Persembahan tarian dari Johor akan diterajui oleh jurutari Onn Jaafar sementara dari Karimun akan ditampilkan persembahan kreatif Dodi Irawan. Singapura pula antara lain menyajikan lagu ciptaan Allahyarham Zubir Said.
'Semua persembahan akan diiringi muzik tradisional seperti gambus, seruling, gendang dan arkodian secara ‘live’ untuk mendapatkan suasana temasya unplugged kesenian Melayu,' kata Hamzah.

Selain itu, pementasan malam itu juga akan memberi penghormatan kepada penaung Sriwana, mantan Setiausaha Agungnya, Haji Nongchik Ghani, menerusi tarian yang dicipta khas oleh Osman Hamid dan Salleh Buang - guru tari yang pernah menjadi anggota Sriwana dalam awal 80-an dulu.Malam Serumpun Seni akan berlangsung di Panggung Victoria pada 8 malam 15 April.
(Dipetik dan diubahsuai daripada BH Mac 2003)